Thursday, 12 July 2012

PENAWAR HARI INI

... hidup bukan untuk ditangisi
tapi untuk dihargai....

Sunday, 8 July 2012

Kebudayaan & Kepercayaan



Dari segi budaya dan cara hidup. Kaum Cina Peranakan Kelantan (CPK) masih terarah kepada budaya asal kaum Cina contohnya menyembah Dewa-dewa samada di rumah sendiri atau di Rumah Ibadat (Bio). Pada setiap 1 dan 15 haribulan Cina setiap bulan CPK juga mempersembahkan buah-buahan, manisan dan teh untuk Dewa-dewa di rumah masing-masing atau rumah ibadat. Manakala pada setiap kali ulangtahun kematian (chor kee) nenek moyang pula, semua anak cucu berkumpul untuk menyembah nenek moyang yang telah tiada dengan makanan, lauk-pauk dan sebagainya. Upacara "cing beng" (membersih kubur) masih
Upacara "Cing Beng"
amalkan pada setiap tahun mengikut kalendar Cina yang berbeza harinya dari tahun ke tahun. Sekali lagi kaum keluarga akan berkumpul untuk membersihkan kubur nenek moyang. "Cheet Goik Phua" merupakan perayaan Hantu Lapar. Pada hari tersebut juga dilakukan jamuan besar-besaran terhadap nenek moyang yang telah tiada. Upacara ini akan disambut pada hari ke-15 pada setiap bulan 7 mengikut kalendar Cina. Manakala perayaan yang paling meriah bagi kaum Cina yang masih kekal sebati dalam
Berkumpul Pada Tahun Baru Cina
masyarakat kami CPK ialah Tahun Baru Cina yang disambut pada 1 haribulan 1 mengikut kalendar Lunar Cina. Seperti perayaan-perayaan lain pada hari tersebut semuanya memakai pakaian seba baru dan kunjung-mengunjungi sanak saudara dan jiran. "Ang Pao", sampul merah yang berduit akan dibahagikan kepada sanak-saudara dan jiran-jiran yang berkunjung. Menarik tentang kebudayaan ini ialah hanya mereka yang telah berkahwin boleh membahagikan duit raya dengan ang pao, manakala hanya yang masih bujang layak menerima ang pao. Tahun Baru Cina dirayakan selama 15 hari. Pada hari ke-15 Tahun Baru Cina dipanggil "chap gor meh"
Upacara "Chap Ghor Meh"
yang merupakan hari terakhir atau simbolik kepada penutup perayaan Tahun Baru Cina. Ianya juga lebih popular dipanggil upacara "koy hoi" dalam dialek tempatan.
 Nama keluarga juga begitu kuat dipertahankan seperti Tan, Teo (Tiaw), Yap, Lee dan banyak lagi. Kaum CPK juga masih berpegang kuat kepada beberapa pantang larang yang wujud dari zaman nenek moyang kami sejak berpuluh atau mungkin beratus tahun dahulu. Perkahwinan antara nama keluarga yang sama adalah dilarang sama sekali kerana dipercayai akan membawa masalah dalam institusi kekeluargaan di masa hadapan kerana dipercayai anak-anak yang bakal dilahirkan berisiko menjadi cacat dan keluarga menjadi huru-hara.  Ini kerana nama keluarga yang sama adalah dari keturunan nenek moyang yang sama dan darah daging yang sama. Begitu juga bagi perkahwinan yang mempunyai perbezaan umur 7 tahun antara pengantin lelaki dan perempuan adalah ditegah. Perbezaan umur tersebut dipanggil "cheet chiong" (perbezaan 7 tahun yang tidak elok). Jika diteruskan juga, ikatan perkahwinan tersebut dipercayai tidak akan bahagia dan  bermasalah. Kebiasaannya orang-orang tua akan merisik calon menantu mereka berdasarkan Horoskop Cina yang digunakan sejak dahulu kala. Monyet, Ayam, Anjing, Khinzir, Tikus, Lembu, Harimau, Arnab, Naga, Ular, Kuda, Kambing merupakan 12 jenis binatang yang mewakili tahun-tahun (mengikut turutan seperti di atas) dalam kalendar Cina yang menentukan kiraan usia masyarakat Cina yang masih diikuti oleh kaum CPK. 
Budaya minum teh bagi setiap upacara perkahwinan juga masih diikuti. Upacara ini dikatakan sebagai tanda perkenalan antara pengantin dengan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Kebiasaannya upacara atau majlis akan berakhir disebelah pihak pengantin lelaki kerana menatu perempuan biasanya akan tinggal dengan keluarga lelaki.Dalam tempuh 3 hari, pengantin perempuan dilarang pulang ke rumah orang tuanya sebagai tanda hormat kepada keluarga mentua. Manakala, hanya selepas 12 hari menantu perempuan dibenarkan bermalam di rumah ibubapanya. Selepas 3 hari dalam tempoh 12 hari, menantu perempuan dibenarkan pulang ke rumah orang tuanya namun dilarang bermalam di sana.
Walaubagaimanapun, kebudayaan Melayu, Siam dan India juga begitu sebati dengan kaum Cina Peranakan Kelantan(CPK) atau Cina Kampung. Contohnya pantang larang kepada ibu-ibu sebelum dan selepas bersalin. Melenggang perut serta berurut dengan bidan kampung, bertungku, pelepas (upacara yang dilakukan oleh bidan kampung selepas pantang) masih kuat diikuti. Dalam majlis kenduri kendara, amalan gotong royong antara jiran tetangga masih kekal diamalkan.

Wednesday, 4 July 2012

Penawar Hari Ini...

...lebih baik pura-pura tidak tahu apa yang kita tahu
daripada buat-buat tahu apa yang kita tidak tahu....

Tuesday, 3 July 2012

Sunday, 1 July 2012

Aku Cina Kampung (The uniqueness of the Chinese Minority in Kelantan, Malaysia) - We are who we are.


Izinkan saya menulis dalam Bahasa Melayu kerana ianya lebih dekat dengan saya berbanding bahasa-bahasa lain. Mewakili Masyarakat Cina Kelantan atau lebih dikenali sebagai Peranakan Cina Kelantan, kami sebenarnya sejak zaman nenek moyang lagi lebih dekat kepada kebudayaan dan cara hidup orang Melayu. Begitu juga dengan bahasa percakapan harian, selain Hokkien sebagai bahasa utama, lebih kurang 40% bercampur aduk dengan bahasa Melayu Kelantan di samping Bahasa Siam. Antara contoh-contoh Bahasa Melayu yang dipinjam dalam percakapan harian kami ialah : semutar=kain lilit kepala, tanggo=tangga, nusuk=sembunyi/menyorok, bekwoh=kenduri, gewe=buah hati, selok=pengsan dan banyak lagi. Manakala pheat=pedas, ghreng=kuat, ber cin=lada, keng=gulai/kuah, set=habis/habis merupakan sebahagian daripada perkataan-perkataan bahasa Siam yang sering dituturi. Begitu juga rutin harian Masyarakat kami terutama yang berada di kampung-kampung yang rata-ratanya hidup aman damai penuh toleransi dengan Masyarakat Melayu tempatan.

Reka bentuk unik rumah masyarakat Cina Kampung, Kelantan
                                                  
                                         

Mak Chu
Jangan terkejut kalau ada dikalangan kami yang mempunyai nama-nama Melayu sebagai gelaran contohnya : Mek Esoh, Che Daud, Pak Chu Awe, Mak Chu, Pok Hin, Cik Joh, Cik Mat, Mek Bunga, Cik Minoh dan banyak lagi. Sekarang terdapat pula 2 tokoh Wayang Kulit bukan Melayu yang terdiri dari kaum Cina Kampung meneruskan kesinambungan permainan rakyat yang dahulunya didominasi oleh kaum Melayu.

Dari segi berpakaian, rata-rata kaum perempuan lebih selesa bersarung batik ketika berada di rumah. Namun terdapat juga golongan yang lebih berusia memakai sarung batik ketika menghadiri majlis-majlis keramaian. Sekali pandang tiada banyak perbezaan dengan kaum Melayu kecuali baju yang berlengan pendek yang juga mempunyai identiti tersendiri. Pun begitu masih ada lagi golongan tua yang berkebaya pendek yang tentunya nampak manis sekali. Berkemban dengan sarung batik selepas mandi bagi kaum wanita adalah pemandangan biasa bagi kami Cina Kampung. Bagi kaum lelaki berkain pelikat tanpa baju adalah 'pakaian rasmi' semasa berada di rumah. 'Semutar' ataupun kain lilit kepala merupakan eksesori yang biasa dipakai  oleh kaum lelaki semasa melakukan aktiviti harian seperti berkebun, menjaga lembu kambing dan sebagainya.