Izinkan saya menulis dalam Bahasa Melayu kerana ianya lebih dekat dengan saya berbanding bahasa-bahasa lain. Mewakili Masyarakat Cina Kelantan atau lebih dikenali sebagai Peranakan Cina Kelantan, kami sebenarnya sejak zaman nenek moyang lagi lebih dekat kepada kebudayaan dan cara hidup orang Melayu. Begitu juga dengan bahasa percakapan harian, selain Hokkien sebagai bahasa utama, lebih kurang 40% bercampur aduk dengan bahasa Melayu Kelantan di samping Bahasa Siam. Antara contoh-contoh Bahasa Melayu yang dipinjam dalam percakapan harian kami ialah : semutar=kain lilit kepala, tanggo=tangga, nusuk=sembunyi/menyorok, bekwoh=kenduri, gewe=buah hati, selok=pengsan dan banyak lagi. Manakala pheat=pedas, ghreng=kuat, ber cin=lada, keng=gulai/kuah, set=habis/habis merupakan sebahagian daripada perkataan-perkataan bahasa Siam yang sering dituturi. Begitu juga rutin harian Masyarakat kami terutama yang berada di kampung-kampung yang rata-ratanya hidup aman damai penuh toleransi dengan Masyarakat Melayu tempatan.
Reka bentuk unik rumah masyarakat Cina Kampung, Kelantan |
Mak Chu |
Dari segi berpakaian, rata-rata kaum perempuan lebih selesa bersarung batik ketika berada di rumah. Namun terdapat juga golongan yang lebih berusia memakai sarung batik ketika menghadiri majlis-majlis keramaian. Sekali pandang tiada banyak perbezaan dengan kaum Melayu kecuali baju yang berlengan pendek yang juga mempunyai identiti tersendiri. Pun begitu masih ada lagi golongan tua yang berkebaya pendek yang tentunya nampak manis sekali. Berkemban dengan sarung batik selepas mandi bagi kaum wanita adalah pemandangan biasa bagi kami Cina Kampung. Bagi kaum lelaki berkain pelikat tanpa baju adalah 'pakaian rasmi' semasa berada di rumah. 'Semutar' ataupun kain lilit kepala merupakan eksesori yang biasa dipakai oleh kaum lelaki semasa melakukan aktiviti harian seperti berkebun, menjaga lembu kambing dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment