Sunday, 8 July 2012

Kebudayaan & Kepercayaan



Dari segi budaya dan cara hidup. Kaum Cina Peranakan Kelantan (CPK) masih terarah kepada budaya asal kaum Cina contohnya menyembah Dewa-dewa samada di rumah sendiri atau di Rumah Ibadat (Bio). Pada setiap 1 dan 15 haribulan Cina setiap bulan CPK juga mempersembahkan buah-buahan, manisan dan teh untuk Dewa-dewa di rumah masing-masing atau rumah ibadat. Manakala pada setiap kali ulangtahun kematian (chor kee) nenek moyang pula, semua anak cucu berkumpul untuk menyembah nenek moyang yang telah tiada dengan makanan, lauk-pauk dan sebagainya. Upacara "cing beng" (membersih kubur) masih
Upacara "Cing Beng"
amalkan pada setiap tahun mengikut kalendar Cina yang berbeza harinya dari tahun ke tahun. Sekali lagi kaum keluarga akan berkumpul untuk membersihkan kubur nenek moyang. "Cheet Goik Phua" merupakan perayaan Hantu Lapar. Pada hari tersebut juga dilakukan jamuan besar-besaran terhadap nenek moyang yang telah tiada. Upacara ini akan disambut pada hari ke-15 pada setiap bulan 7 mengikut kalendar Cina. Manakala perayaan yang paling meriah bagi kaum Cina yang masih kekal sebati dalam
Berkumpul Pada Tahun Baru Cina
masyarakat kami CPK ialah Tahun Baru Cina yang disambut pada 1 haribulan 1 mengikut kalendar Lunar Cina. Seperti perayaan-perayaan lain pada hari tersebut semuanya memakai pakaian seba baru dan kunjung-mengunjungi sanak saudara dan jiran. "Ang Pao", sampul merah yang berduit akan dibahagikan kepada sanak-saudara dan jiran-jiran yang berkunjung. Menarik tentang kebudayaan ini ialah hanya mereka yang telah berkahwin boleh membahagikan duit raya dengan ang pao, manakala hanya yang masih bujang layak menerima ang pao. Tahun Baru Cina dirayakan selama 15 hari. Pada hari ke-15 Tahun Baru Cina dipanggil "chap gor meh"
Upacara "Chap Ghor Meh"
yang merupakan hari terakhir atau simbolik kepada penutup perayaan Tahun Baru Cina. Ianya juga lebih popular dipanggil upacara "koy hoi" dalam dialek tempatan.
 Nama keluarga juga begitu kuat dipertahankan seperti Tan, Teo (Tiaw), Yap, Lee dan banyak lagi. Kaum CPK juga masih berpegang kuat kepada beberapa pantang larang yang wujud dari zaman nenek moyang kami sejak berpuluh atau mungkin beratus tahun dahulu. Perkahwinan antara nama keluarga yang sama adalah dilarang sama sekali kerana dipercayai akan membawa masalah dalam institusi kekeluargaan di masa hadapan kerana dipercayai anak-anak yang bakal dilahirkan berisiko menjadi cacat dan keluarga menjadi huru-hara.  Ini kerana nama keluarga yang sama adalah dari keturunan nenek moyang yang sama dan darah daging yang sama. Begitu juga bagi perkahwinan yang mempunyai perbezaan umur 7 tahun antara pengantin lelaki dan perempuan adalah ditegah. Perbezaan umur tersebut dipanggil "cheet chiong" (perbezaan 7 tahun yang tidak elok). Jika diteruskan juga, ikatan perkahwinan tersebut dipercayai tidak akan bahagia dan  bermasalah. Kebiasaannya orang-orang tua akan merisik calon menantu mereka berdasarkan Horoskop Cina yang digunakan sejak dahulu kala. Monyet, Ayam, Anjing, Khinzir, Tikus, Lembu, Harimau, Arnab, Naga, Ular, Kuda, Kambing merupakan 12 jenis binatang yang mewakili tahun-tahun (mengikut turutan seperti di atas) dalam kalendar Cina yang menentukan kiraan usia masyarakat Cina yang masih diikuti oleh kaum CPK. 
Budaya minum teh bagi setiap upacara perkahwinan juga masih diikuti. Upacara ini dikatakan sebagai tanda perkenalan antara pengantin dengan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Kebiasaannya upacara atau majlis akan berakhir disebelah pihak pengantin lelaki kerana menatu perempuan biasanya akan tinggal dengan keluarga lelaki.Dalam tempuh 3 hari, pengantin perempuan dilarang pulang ke rumah orang tuanya sebagai tanda hormat kepada keluarga mentua. Manakala, hanya selepas 12 hari menantu perempuan dibenarkan bermalam di rumah ibubapanya. Selepas 3 hari dalam tempoh 12 hari, menantu perempuan dibenarkan pulang ke rumah orang tuanya namun dilarang bermalam di sana.
Walaubagaimanapun, kebudayaan Melayu, Siam dan India juga begitu sebati dengan kaum Cina Peranakan Kelantan(CPK) atau Cina Kampung. Contohnya pantang larang kepada ibu-ibu sebelum dan selepas bersalin. Melenggang perut serta berurut dengan bidan kampung, bertungku, pelepas (upacara yang dilakukan oleh bidan kampung selepas pantang) masih kuat diikuti. Dalam majlis kenduri kendara, amalan gotong royong antara jiran tetangga masih kekal diamalkan.

No comments:

Post a Comment